02 May
02May

Sampel karangan 1: Langkah-langkah memupuk amalan perpaduan kaum.


          Perpaduan merujuk kepada suasana dan ikatan mesra antara rakyat dalam sesebuah negara. Sudah terang lagi bersuluh, semakin hari kita semakin menghampiri ambang 2020. Keadaan ini menandakan titik permulaan pelbagai cabaran dan rintangan yang bakal menghambat. Isu perpaduan kaum bukanlah sesuatu isu yang baharu di negara kita bahkan telah menjadi fokus perbincangan dalam media massa dan buah mulut dalam kalangan rakyat. Senario ini amat mengecewakan kerana pembangunan negara kita yang pesat sejak merdeka akan terjejas disebabkan pergaduhan dan pergolakan politik dalaman.  Tiada penyakit yang tiada penawarnya, maka langkah-langkah yang konkrit, sistematik dan pragmatik haruslah dijalankan secara berterusan agar masalah ini boleh dibasmi hingga akar umbi. 

          Peranan ibu bapa dan barisan pendidik merupakan wahana dalam membina generasi masa hadapan yang mementingkan keharmonian antara kaum. Dalam institusi keluarga, ibu bapa merupakan entiti mithali kepada anak dan perlu menunjukkan teladan baik. Contohnya, ibu bapa haruslah bertegur sapa dan melayani jiran setangga dengan mesra tanpa mengira bangsa, kaum dan anutan agama. Maka, sejak usia muda anak akan terpengaruh untuk meneladani sikap ibu bapa yang menghormati kaum lain, bak kata pepatah, melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Barisan pendidik di sekolah juga memainkan peranan signifikan dalam menerapkan nilai murni ke dalam sanubari anak murid. Melalui pengajaran subjek pendidikan moral dan sivik kewarganegaraan, barisan pendidik dapat memberikan bimbingan dan nasihat yang berterusan untuk membentuk sahsiah positif dalam para murid. Yang kita pastikan ialah gabungan usaha antara ibu bapa dengan barisan pendidik dapat memupuk nilai perpaduan dalam generasi muda. 

          Selain itu, pada masa ini juga aktiviti kemasyarakatan dapat mengukuhkan perpaduan kaum di negara kita. Melalui penganjuran aktiviti gotong-royong, masyarakat dapat memupuk semangat bekerjasama bak aur dengan tebing untuk membersihkan dan mengindahkan kawasan persekitaran tempat kediaman. Aktiviti sebegini mampu menjamin keceriaan kawasan kediaman masyarakat dan juga membuka ruang serta peluang komunikasi antara jiran tetangga. Pada masa yang sama, konsep rumah terbuka haruslah diperkukuh di negara kita. Rumah terbuka merupakan kaedah pemupukan perpaduan yang efektif kerana dapat mendedahkan masyarakat kepada keunikan adat resam kaum lain. Secara tidak langsung, persefahaman antara kaum dapat diwujudkan dan hubungan erat bak isi dengan kuku dapat dijalin. Dengan perkataan lain, aktiviti kemasyarakatan merupakan saluran yang paling berkesan untuk memupuk perpaduan kaum. 

          Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa media massa merupakan rangkaian perhubungan yang banyak digunakan dalam era globalisasi ini. Dalam konteks mengukuhkan perpaduan kaum, media massa seharusnya digunakan dengan sebaik-baiknya untuk menyebarkan mesej dan informasi positif tentang kepentingan bersatu padu. Sebagai analoginya, stesen penyiaran tempatan boleh menyiarkan program yang berunsur perpaduan dan mempunyai pelakon yang berbilang pelbagai bangsa. Siaran program sudah pasti dapat menerapkan nilai perpaduan dalam jiwa masyarakat secara berunsur-unsur terutamanya jika unsur hiburan turut diselitkan dalam program tersebut. Sesungguhnya, perpaduan kaum akan tercapai dengan lebih mudah melalui peranan media massa. 

          Dalam sistem perundangan negara kita, rakyat diberikan hak kebebasan bersuara. Namun demikian, rakyat Malaysia seharusnya menghindari sebarang tindakan yang boleh mencetuskan provokasi kaum. Rakyat negara kita haruslah mengawal nafsu diri dan tidak mengambil kesempatan dengan mencetuskan isu sensitif dan kontroversi. Hal ini dapat mengelakkan muhibah dan perpaduan kaum daripada terjejas kerana bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati. Justeru, peranan rakyat sendiri tidak boleh dinafikan kepentingannya dalam usaha memupuk perpaduan kaum di negara kita.

          Konklusinya, perpaduan merupakan tunjang dan asas negara Malaysia. Semua pihak haruslah menggembleng tenaga dan berganding usaha untuk memainkan peranan masing-masing dalam menerbitkan semangat perpaduan dalam sanubari sendiri dan orang lain. Jika semua masyarakat berganding bahu, ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, insyallah perpaduan rakyat dapat dicapai dan diggenggam erat. Dengan ini diharapkan peristiwa hitam seperti 13 Mei 1969 dapat dielakkan daripada berulang kembali. Demi merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020, marilah kita bersama-sama menyeru sahutan kerajaan dan berusaha untuk mewujudkan masyarakat yang harmoni dan bersatu.


Sampel karangan 2: Langkah-langkah memupuk semangat perpaduan kaum.

          Isu perpaduan kaum merupakan satu usaha berterusan yang perlu dipikul dan dijunjung bersama-sama oleh semua pihak. Sekiranya terlerai ikatan silaturahim dan musnah perpaduan dalam masyarakat, nescaya pelbagai impak negatif akan menimpa masyarakat khususnya dan negara amnya. Oleh sebab itu, pelbagai usaha perlu diambil bagi memupuk dan membaja agar perpaduan terus subur dan mewangi dalam kehidupan masyarakat sekali gus mengelakkan peristiwa hitam 13Mei 1969 daripada berulang kembali.

            Antara usaha yang boleh dilakukan dalam untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat adalah dengan mengadakan aktiviti gotong-royong. Aktiviti gotong-royong merupakan saluran dan peluang kepada masyarakat di sesuatu kawasan perumahan untuk bertemu dan mengenali antara satu sama lain. Di samping itu, aktiviti ini dapat memupuk semangat bekerjasama untuk membersihkan dan mengindahkan kawasan persekitaran tempat kediaman mereka sesuai dengan slogan

“Negara Bersih Rakyat Sihat”. Sebagai contoh, aktiviti gotong-royong yang boleh dijalankan ialah kerja-kerja membersihkan kawasan perumahan, taman permainan, tanah perkuburan dan sebagainya. Seterusnya, aktiviti gotong-royong dapat meringankan serta memudahkan kerja yang sukar dilakukan ibarat kata peribahasa yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing serta ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni.

           Selain itu itu, perpaduan kaum di Malaysia boleh dicapai dengan meraikan sambutan perayaan kaum-kaum di Malaysia secara bersama-sama. Melalui amalan kunjung-mengunjung yang dilakukan akan dapat mengeratkan ikatan silaturahim antara jiran serta rakan daripada pelbagai kaum. Sebagai contoh, sambutan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali, Hari Gawai dan Hari Krismas merupakan perayaan utama yang boleh diraikan oleh seluruh masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum. Melalui kunjungan sambutan perayaan sesuatu kaum dapat menerbitkan perasaan hormat-menghormati terhadap adat dan kepercayaan kaum lain. Di sampingitu, budaya ini dapat mengukuhkan perpaduan apabila kurangnya syak wasangka antara kaum di Malaysia. Sekiranya perkara ini dapat dipraktikkan nescaya masyarakat Malaysia akan mampu menghadapi apa-apa sahaja cabaran yang datang dari luar atau masyarakat antarabangsa, ibarat kata peribahasa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat serta bersatu kita teguh,bercerai kita roboh.

           Seterusnya, aktiviti sukan dan permainan yang dijalankan juga boleh mewujudkan perpaduan kaum di Malaysia. Sukan dan permainan yang dijalankan dapat dijadikan tali penghubung  atau gelanggang pertemuan pelbagai kaum di Malaysia. Dalam hal ini, satu perkara yang perlu diselesaikan adalah dengan memecahkan monopoli sukan dan permainan yang dikuasai oleh sesuatu kaum sahaja seperti permaian bola keranjang, ping pong, sepak takraw dan sebagainya. Kita berharap pada suatu masa nanti pasukan bola keranjang negara misalnya, mampu diwakili peserta pelbaga ikaum di Malaysia dan bukan sahaja dimonopoli oleh kaum Cina sahaja. Dalam konteks ini, sukan bola sepak, badminton, hoki dapat dijadikan contoh dan teladan. Dengan bermain bersama-sama dalam sesuatu sukan dan permainan serta seterusnya mewakili pasukan kebangsaan di peringkat antarabangsa, akan dapat menanamkan semangat cinta akan negara. Usaha ini tentu dapat mengharumkan nama negara sekali gus meningkatkan imej negara di peringkat antarabangsa.

          Sebagaimana yang semua telah ketahui tanggal 31 Ogos 1957 merupakan tarikh keramat kemerdekaan negara. Sambutan Hari Kebangsaan sesungguhnya membuka satu lagi jalan dalam usaha memupuk perpaduan di Malaysia. Kebiasaannya, pelbagai kaum akan menyertai upacara sambutan tersebut pada setiap tahun. Melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan nescaya dapat menambahkan ukhwah dan permuafakatan antara masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Di samping itu, penghayatan tema sambutan Hari Kebangsaan, misalnya Keranamu Malaysia diharap dapat menanam semangat cinta akan negara sekali gus mengukuhkan amalan peribahasa di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Sesungguhnya, semua kaum di Malaysia perlu memahami bahawa kemerdekaan yang digapai pada hari ini perlu dijaga kerana Malaysia hanya satu, dan tiadak ada duanya. Peribahasa hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baiklah di negeri sendiri perlu direnungi oleh setiap warganegara Malaysia agar perpaduan tidak menjadi duri dalam daging dalam usaha negara mencapai Wawasan 2020.

          Intihanya, semua pihak perlu sedar akan pentingnya memupuk dan menjaga perpaduan masyarakat di negara kita. Sesungguhnya, sekali kita leka dan lali serta memandang enteng akan perpaduan kaum, nescaya kita akan menyesal untuk selama-lamanya kerana terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata dan tindakan buruk padahnya. Kini, kita berada dalam era globalisasi dan liberalisasi. Pelbagai usaha dijalankan adalah demi menuju ke arah membentuk sebuah masyarakat majmuk yang bersatu padu. Walaupun terdapat beberapa cabaran, tetapi dengan adanya perancangan yang teliti, usaha yang gigih dan strategi yang lebih berkesan dan dilaksanakan pula dengan penuh tanggungjawab dan bersifat proaktif oleh semua pihak sudah pasti keharmonian,perpaduan kaum dan integrasi nasional akan tercapai.



Comments
* The email will not be published on the website.
I BUILT MY SITE FOR FREE USING